Tuesday 1 September 2015

MYTV dan ASTRO: Analisis rumusan awal.

Perkembangan terbaru menghebahkan akan ada munculnya syarikat penyiaran baru yang akan menggantikan penyedia gergasi penyiaran terbesar Asia iaitu ASTRO. Dendam para warga Malaysia yang menyampah dengan yuran pembayaran ASTRO setiap bulan seakan-akan terbalas dalam sedikit masa lagi.




Namun jangan cepat berpuas hati . Mari saya terangkan MYTV tidak akan sama sekali menjamin anda mendapat siaran daripada ASTRO secara percuma. Tidak akan dapat!

dan...

Falsafah, Teknologi dan Ekosistem kedua-dua stesen penyaiaran ini amat berbeza sama sekali 

Logo Rasmi MYTV

MYTV adalah jenama dibawah konglomerat Puncak Semangat (Altel communication) yang dimiliki oleh Tan Tri Syed Bukhari dan mereka ini telah dianugerahkan kontrak oleh Kerajaan Malaysia dalam tahun 2014 untuk membangunkan infrastuktur pancaran siaran digital atau Digital Terestrial Television di Malaysia. DTTV ini adalah suatu lembah penyiaran yang baru di Malaysia dimana, berlainan dengan ASTRO, DTTV dipancarkan melalui stesen-stesen pemancar yang terdapat diserata Malaysia dan diterima dengan menggunakan alat dekoder dirumah anda. Melalui kontrak kerajaan ini, MYTV telah bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) untuk membangunkan infrastuktur stesen-stesen pancaran untuk tahun-tahun kedepan. 

Memorandum dimeteri antara MYTV dengan TM sebagai pembekal dan pengendali stesen pemancar 


Apa itu DTTV
Sejujurnya, benda ini sudah ada lama di dunia dan mungkin barulah sekarang kita menyedarinya. DTTB ini adalah satu teknologi penyampaian signal televisyen menggunakan spektrum digital berbanding analog sebelum ini lazimnya dikhaskan kepada spektrum 300Mhz sehingga 480Mhz. Bermula tahun 2007 terutamanya di Amerika Syarikat, kebanyakkan stesen siaran terpaksa beralih daripada signal Analog kepada digital bukan sahaja atas alasan pembangunan teknologi HDTV, namun atas dasar kerajaan yang mahu mengosongkan spektrum analog sedia ada utk dikhaskan siaran-siaran kecemasan.



Pecahan negara-negara di dunia ini yang menggunakan format berlainan dalam spektrum DTTV


Kenapa MYTV berlainan dengan ASTRO?

Falsafah 
Astro penyedia rangkaian siaran dalam termasuk saluran "in-house" dan saluran antarabangsa berdasarkan yuran / pakej langganan yang dicaj ke atas subscriber (pelanggan)

MYTV adalah stesen penyedia saluran TV Free To Air dan saluran-saluran yang dibayar oleh operator yang menyediakan kandungan (content) siaran kepada penonton. 

Teknologi pemancaran
Seperti yang telah diperkatakan tadi, MYTV menggunakan teknologi transmisi DTTV yang mana spektrum signal dipancarkan oleh menara telekomunikasi darat seperti menara telekom manakala ASTRO pula menggunakan teknologi penghantaran transmisi melalui Satelit. Justreru, siaran MYTV tidak akan terganggu oleh elemen-elemen alam seperti hujan, Namun MYTV perlu sentiasa bergantung pada stesen pemancar bumi bagi menghantar siarannya. Dekoder diperlukan di rumah untuk mengubah signal digital tersebut ke TV anda sama seperti Astro yang juga memerlukan dekoder.


Stesen pemancar DTTV (Taiwan) 


Kandungan Siaran 
MYTV telah melaksanakan siaran percubaan (Trial Broadcast) kepada kumpulan sasaran pada suku pertama tahun ini dan kandungan siaran TV pula dipunggah naik daripada siaran Free To Air (FTA) iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, TV9, Bernama dan TVALHijrah. MYTV bercadang akan memperluaskan siarannya kepada 30 saluran pada penghujung tahun 2016 akan datang. 

Manakala disuatu sudut lain pula, Astro mempunyai saluran dan rancangan terbitan sendiri iaitu Astro RIA, PRIMA, CITRA, WARNA, MUSTIKA, WAH LAI TOI dan banyak lagi yang hak penyiarannya secara mutlak dipunyai oleh Astro. 

Ekosistem 
Ini adalah faktor ultima dimana kita dapat melihat perbezaan terbesar antara MYTV dan Astro. Jangan kita lupakan bahawa MYTV juga syarikat seperti Astro yang perlu menjana keuntungan bagi meneruskan kelangsungan survivalnya dalam kancah perniagaan kini. Bahasa senangnya adalah MYTV bertindak sebagai tuan rumah yang akan menyewakan saluran-saluran mengikut pakej mereka kepada sesiapa sahaja, mahupun syarikat atau orang perseorangan yang mahu menceburi industri penyiaran ini dengan bermodalkan sebanyak RM12 juta untuk sewaan satu saluran anda boleh menyiarkan kandungan siaran anda. Oleh yang demikian MYTV bermanafaat kepada orang ramai yakni penonton dan para usahawan / karyawan yang ingin meluaskan empayar penyiaran mereka melalui sewaan siaran di MYTV. 




Fokus utama MYTV dalam industri penyiaran ini bukan sahaja memajukan teknologi untuk memberikan pengalaman menonton TV berdefinisi tinggi kepada rakyat Malaysia, bahkan juga membina satu niche baru dikalangan para golongan orang bisnes untuk mengetengahkan produk dan servis mereka melalui sewaan saluran di MYTV. 

MYTV juga akan menggunakan platform interaktif sama seperti Astro dengan aplikasi butang merah dan sebagainya. 

Kesimpulan awalan
Seperti yang saya tekankan semenjak dari awal karangan ini digarap, MYTV tidak dapat menggantikan Astro kerana model, mekanisma dan falsafah bisnes kedua-dua konglomerat ini tidak sama dan mereka juga tidak berperang dalam satu balapan yang sama. Oleh yang demikian persepsi orang ramai mengatakan MYTV akan menggantikan Astro itu berada pada satu garisan subjektif. Jika anda hanya menonton siaran FTA, YA! mungkin akan menggantikan, namun jika anda menonton siaran-siaran "In-house" terbitan Astro, sila jangan potong Astro anda terlebih dahulu...

Set Astro subscriber





2 comments: